Saturday, May 19, 2012

Breastfeeding: Nak ke tak nak?


Salam.

Adakah anda merupakan ibu-ibu yang telah berjaya menyusukan anak anda dengan penyusuan susu ibu secara eksklusif? Atau, mungkin juga anda masih menyusukan anak dengan penyusuan susu ibu tetapi diselang-seli dengan penyusuan formula? Atau mungkin juga anda memang memberi anak anda dengan peyusuan formula sepenuhnya?

Walau apapun jawapan yang diberi kepada persoalan-persoalan di atas, hanya anda sebagai ibu yang layak menentukan apa yang terbaik untuk anak-anak anda. Namun, bagi diri saya sendiri sebagai ibu, saya telah mencuba sedaya-upaya saya untuk menyusukan anak-anak saya dengan penyusuan susu ibu secara eksklusif.

Saya seorang ibu yang mempunyai 3 orang anak yang masih kecil. Anak sulung saya kini baru berumur 2 tahun 8 bulan. Umur anak kedua pula 1 tahun 5 bulan. Dan, anak yang paling kecil baru sahaja hadir ke dunia ini selama 49 hari. Mengikut pengalaman saya yang telah bersalin 3 kali dan menempuh kehidupan sebagai ibu bagi anak-anak kecil ini, saya telah melakukan ketiga-tiga perkara dari persoalan-persoalan di atas.

Pengalaman sulung yang terlalu cetek pengetahuan menyebabkan saya memberi anak saya  susu ibu diselang-seli dengan susu formula pada awal kelahiran sehingga dia berumur hampir 2 bulan, telah diberi susu formula sepenuhnya. Pengalaman kedua menyedarkan saya tentang perkara di atas. Saya berusaha melakukan penyusuan susu ibu secara eksklusif tetapi telah mula diselang-seli dengan formula semasa dia berusia 5 bulan lebih. Kini, dengan kelahiran ketiga saya masih melakukan penyusuan susu ibu secara eksklusif tetapi dengan keadaan yang lebih bersedia dan tenang.

Jujur saya katakan, bukan mudah untuk membuat penyusuan susu ibu secara eksklusif. Banyak rintangan dan dugaan yang harus dihadapi. Anda harus kuat, sabar, tenang, dan berpengetahuan. Pada awal minggu kelahiran, kebiasaannya ibu-ibu akan menghadapi keadaan putting yang luka, breast yang membengkak (yang mungkin akan menyebabkan demam), anak yang belum betul-betul pandai menghisap dari breast, orang sekeliling yang berkata kepada anda bahawa anak anda lapar (tak cukup susu, campur la dengan susu formula), dan lain-lain keadaan lagi. Namun, seperti yang telah saya nyatakan tadi, anda  harus kuat, sabar, tenang, dan berpengetahuan.

Anak-anak saya yang diberi susu ibu sepenuhnya memang manja. Kadang-kadang mungkin boleh membuat anda rasa tidak selesa kerana susah untuk bergerak ke mana-mana. Sentiasa ingin didakap. Namun, sekali lagi pesanan saya, anda  harus kuat, sabar, tenang, dan berpengetahuan. 

Saya tidak pernah memaksa anda untuk memilih penyusuan susu ibu secara eksklusif. Tetapi, hakikatnya, itulah yang terbaik untuk bayi anda. Memang memenatkan tetapi anda happy. Jika tidak pun, penyusuan susu ibu di selang-seli dengan susu formula adalah lebih baik daripada membuat penyusuan formula sepenuhnya. Saya juga menggalakkan ibu-ibu yang memilih untuk menyusukan bayi anda sepenuhnya supaya menyediakan keperluan-keperluan penyusuan susu ibu. Ini bukan hanya terhad bagi ibu-ibu yang bekerja.

Pengalaman saya kini sebagai ibu yang tidak bekerja, semasa saya pergi membeli-belah. Saya tidak membawa nursing cover/poncho. Juga tidak memakai baju nursing. Sedang memilih barang-barang, anak saya ingin menyusu. Saya cuba mencari tempat duduk yang sesuai untuk menyusukan anak saya tetapi tidak ada bench untuk saya duduk menyusu dan akhirnya saya terpaksa menyusukan anak saya di dalam toilet. Saya benar-benar rasa sedih dan menyesal kerana terpaksa memberi anak saya ‘makan’ dalam toilet. Mohon ampun Ya Allah.

Jadi, saya berkongsi pengalaman tersebut untuk menyedarkan saya dan ibu-ibu di luar sana supaya bersedia dengan keperluan-keperluan penyusuan susu ibu. Semoga kita berjaya memberi yang terbaik untuk anak kita. Semoga mendapat keberkatan dari Allah Yang Maha Esa. Amin.